R6 : Tugasan Berkumpulan

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Refleksi ini adalah berkaitan dengan kajian yang dilaksanakan secara berkumpulan, dalam mengenalpasti “the best practices” menggunakan media ketika proses pengajaran dan pembelajaran (P&P).

Projek ini dilaksanakan berkumpulan bersama dua orang sahabat sekelas iaitu Saudari Amalia dan Saudari Basyirah.

Di dalam tugasan ini, kami ingin melihat pembelajaran murid tahun 2 berkenaan tajuk pecahan wajar menggunakan Youtube dan Phet Simulations. Dua objektif telah dikenalpasti iaitu :

  • meningkatkan kefahaman konsep pecahan wajar menggunakan media baharu (Youtube & Phet Simulations)
  • menilai kerjasama murid melalui strategi pembelajaran kooperatif

Kajian ini dijalankan kepada murid tahun 2 di sebuah sekolah di bandar Ulu Tiram, Johor. Kajian dilaksanakan terhadap 10 murid yang mempunyai tahap pencapaian yang baik dan sederhana dalam subjek matematik. Tajuk yang dipilih pula adalah berkenaan pemahaman terhadap konsep pecahan wajar. Media yang dipilih untuk digunakan adalah Youtube dan juga Phet Simulations.

Pelaksanaan kajian ini dilaksanakan seperti berikut :

  • 30 MINIT
  • penerangan guru berkaitan pecahan wajar dan konsep penyebut/pengangka kepada murid secara lisan
  • tayangan video (guna LCD) daripada Youtube berkaitan pecahan wajar
  • guru memberi penerangan berkaitan video kepada murid-murid
  • 30 MINIT
  • selesai tayangan video, murid dibahagi kepada 5 kumpulan (satu kumpulan dua murid)
  • setiap kumpulan diberikan satu PC
  • guru membuka halaman Phet Simulations untuk kesemua kumpulan (sebelum kelas)
  • murid melaksanakan aktiviti di dalam phet simulations secara bergilir-gilir
  • penilaian kefahaman berdasarkan kepada skor yang diperoleh mereka semasa melaksanakan aktiviti di dalam Phet Simulations
  • kesimpulan oleh guru

Semasa murid melakukan aktiviti di dalam Phet Simulations, penilaian terhadap kerjasama mereka di dalam kumpulan juga telah dilakukan, menggunakan satu borang senarai semak yang telah diwujudkan.

Secara keseluruhannya, dapatan kajian menunjukkan murid lebih seronok dan tertarik terhadap cara P&P yang menggunakan media-media baharu ini. Kefahaman mereka terhadap topik yang dikaji juga sangat tinggi kerana kesemua mereka dapat melaksanakan aktiviti di dalam Phet Simulations dengan betul. Kerjasama mereka di dalam kumpulan juga menunjukkan kerjasama yang sangat baik dan positif.


Hasil daripada projek yang dilaksanakan, saya melihat bahawa P&P di zaman kini perlulah seiring dengan perkembangan teknologi semasa. P&P yang dilakukan secara tradisional tidak bermaksud perlu disingkirkan terus sebaliknya ianya masih diperlukan, cuma ianya perlu digabungkan bersama dengan alatan teknologi yang sesuai di dalam proses tersebut agar ianya kekal relevan dan mampu meningkatkan kefahaman murid terhadap sesuatu topik.

Walaupun begitu, dalam mengaplikasikan perkara ini, kekangan yang wujud seperti capaian internet atau kemudahan fasiliti pendidikan perlu ditambahbaik agar proses yang ingin dilaksanakan dapat berjalan dengan lancar dan sempurna. Justeru itu, guru perlulah bersedia dengan sebaik mungkin untuk menjayakan proses P&P yang seiring dengan perkembangan semasa ini.

Leave a comment